Puteri gunung Australia

Pemandangan mengasyikkan di lokasi pelancongan popular, Blue Mountains.
Mitos tiga beradik jadi buah mulut di Blue Mountains, tarik pelancong dari seluruh dunia

MISTIK dan lagenda menjadi antara elemen yang mewarnai hidup manusia. Seperti kisah dua puteri yang bertukar menjadi gunung di Sarawak, Australia juga mempunyai cerita sama yang menjadi buah mulut warisan berzaman. 

Three sisters iaitu tiga gunung yang terletak di kawasan Blue Mountains, kira-kira 104 kilometer di barat Sydney cukup terkenal di kalangan masyarakat tempatan. Lokasi ini juga menjadi tarikan pelancong yang ingin melihat lebih dekat kawasan pergunungan mengagumkan itu.

Peluang ke angkasa lepas


KUALA LUMPUR: Pada 2015 nanti, rakyat Malaysia dan di rantau Asia bakal berpeluang mengembara ke angkasa lepas menerusi projek yang bakal dilaksanakan di Jasin, Melaka.
Menerusi projek itu, sebuah ‘space pod’ akan dibina dan mereka yang berkemampuan boleh menaikinya untuk dilancarkan di angkasa lepas dan berada di sana selama 10 minit.

Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, projek itu dijangka dimulakan Disember ini.


“Melalui perbincangan dengan kerajaan negeri, kita sudah mendapat tanah yang sesuai dan pelabur juga ramai yang berminat dengan projek ini,” katanya yang ditemui selepas majlis iftar angkasawan negara bersama 45 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Salam, Chow Kit di Restoran Rebung Chef Ismail, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka yang berminat perlu membayar sebanyak USD100,000 (RM300,000 dan perlu mengikuti kursus pendek.


“Saya yakin projek ini mampu mempertingkatkan industri pelancongan kita malah mempromosikan pelancongan angkasa yang semakin mendapat tempat sekarang.



“Malah dengan usaha sebegini, kita mampu mengurangkan kos orang ramai mendapatkan pengalaman hebat ke angkasa lepas. Bagi saya, semua orang harus mengambil peluang ini,” katanya.

Menurutnya, platform projek itu diusahakan Persatuan Pelancongan Angkasa Malaysia manakala beliau berperanan sebagai peneraju.


Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012

Sumber: Harian Metro

Disambar buaya ketika buang air


KUCHING: Seorang buruh binaan yang sedang membuang air besar nyaris maut dibaham buaya dalam kejadian di bawah jambatan merentasi Sungai Sarawak berdekatan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pagi semalam.
Sebelum kejadian jam 8 pagi itu, lelaki warga Indonesia berkenaan yang dikenali sebagai Pai, 32, dari Pulau Jawa, tiba-tiba sakit perut sebelum membuat keputusan ke bawah jambatan berkenaan bagi membuang air besar.

Dia yang bekerja di sebuah tapak pembinaan berdekatan berkata, berikutan perutnya semakin memulas, dia tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mencangkung di tepi sungai di bawah jambatan berkenaan.


“Hanya beberapa minit selepas membuang air besar, secara tiba-tiba buaya dianggarkan sepanjang lebih dua meter menyambar pinggang saya dari belakang.

“Pada mulanya saya terkejut dan panik kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan hanya beberapa saat kemudian baru saya sedar ia seekor buaya,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS).


Menurutnya, ketika bergelut untuk cuba melepaskan diri dari gigitan buaya berkenaan, dia mendapat kudrat untuk melawan dengan menumbuk sekuat hati mata haiwan berkenaan.



“Nasib memihak kepada saya apabila buaya berkenaan melepaskan gigitan sebaik tumbukan saya mengenai sebelah matanya,” katanya.

Pai berkata, sebaik buaya itu melepaskan gigitan, dia terus berlari meminta pertolongan rakan sekerjanya dalam keadaan tubuh berlumuran darah akibat serangan haiwan ganas itu.


“Apabila terlepas daripada mulut buaya, saya seperti mendapat kekuatan luar biasa untuk lari meminta pertolongan walaupun pinggang saya terasa amat sakit.

“Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu. Inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan dalam hidup saya.” katanya, Pai kemudiannya dihantar ke HUS untuk rawatan dan keadaannya kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012
Sumber: Harian Metro

Kedai penyanyi dibakar

KUALA LUMPUR: “Saya hampir pengsan melihat api menjulang memusnahkan kedai makan yang saya usahakan selama 10 tahun,” kata bekas anggota kumpulan 2 By 2, A Halim Mamat, 37, menceritakan detik cemas kebakaran kedai makan miliknya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan kedai makanan Thai yang diusahakan Halim bersama isteri yang juga bekas penyanyi kumpulan Genuine, Norsalawati Karman, 35, musnah.

Menurut Halim, ketika kejadian dia sedang tidur apabila tiba-tiba dikejutkan Norsalawati dan memaklumkan mengenai kebakaran itu.

“Isteri saya dihubungi sepupunya yang tinggal berhampiran kedai makan kami dan memberitahu mengenai kejadian. Kami sangat terkejut kerana hanya sejam sebelum itu kami baru saja pulang selepas memeriksa kedai yang ditutup seminggu sempena Aidilfitri,” katanya.

Halim berkata, dia segera ke tempat kejadian, manakala Norsalawati terpaksa tinggal di rumah kerana menjaga empat anak mereka.

“Tubuh saya lemah sejurus tiba dan melihat api marak membakar kedai makan ini yang juga satu-satunya sumber utama pendapatan selepas saya dan isteri berhenti menyanyi.

“Kedai makan ini saya usahakan ketika masih lagi aktif dalam nyanyian sebagai bekalan selepas tidak lagi berkecimpung dalam bidang seni,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, dia dan enam pekerjanya kini hilang sumber pendapatan.

“Api dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dan kebakaran sebenar masih disiasat,” katanya yang mengesyaki kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat dan menganggar kerugian RM60,000.

Nasib malang menimpa pasangan itu yang popular sekitar 1990 turut mendapat perhatian rakan artis lain apabila seorang lagi bekas anggota 2 By 2, Zul dan isteri, Isma, yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) datang melawat.

Turut melawat tempat kejadian, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wangsa Maju, Mohd Rasyid Abdul Samah dan Naib Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Hamdan Mohd Yusuf.

Halim berkata, dia dan isteri berharap dapat membina semula kedai makan itu dan berharap ada pihak bersimpati dan menghulur sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012 - Sumber: Harian Metro